Taklimat SISPAA Di Jabatan Perdana Menteri | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) tidec
» BERITA » Taklimat SISPAA di Jabatan Perdana Menteri

Taklimat SISPAA di Jabatan Perdana Menteri

21 Januari 2025, SERDANG – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan arahan agar semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengguna pakai Sistem Pengurusan Pengaduan Awam (SISPAA) dalam pengurusan aduan universiti. Sehubungan itu, seramai 16 orang staf Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menghadiri taklimat berkaitan pelaksanaan dan penggunaan SISPAA di Bahagian Pengurusan Aduan, Presint 1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri bagi memberikan penerangan mengenai tatacara, pengurusan dan pelaksanaan SISPAA dalam memastikan aduan awam dapat dikendalikan secara sistematik, berkesan dan telus.

 

Sebagai persediaan awal, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM telah mengadakan lawatan penanda aras ke Bahagian Khidmat Pelanggan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 4 Oktober 2024. Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan pendedahan serta mempelajari amalan terbaik berkaitan pengurusan perkhidmatan pelanggan dan pelaksanaan SISPAA di peringkat universiti.

Lawatan penanda aras itu turut disertai wakil daripada Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Pusat Perhubungan Alumni, Sekolah Pengajian Siswazah dan Pusat Kesihatan Universiti. Perkongsian pengalaman tersebut menjadi input penting dalam membantu UPM membuat persediaan bagi pelaksanaan sistem pengurusan aduan yang lebih terselaras.

Pelaksanaan SISPAA dijangka dapat memperkukuh kecekapan pengurusan aduan, meningkatkan pemantauan status tindakan serta memastikan maklum balas kepada pengadu dapat disampaikan dengan lebih teratur. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UPM dalam mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus universiti yang responsif terhadap keperluan warga serta pelanggan.

 
Disediakan oleh:
Ts. Aidah Ngatiman
Bahagian Pembangunan Aplikasi
Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC)

Tarikh Input: 27/01/2025 | Kemaskini: 21/08/2026 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
T, ~noCache [*LIVETIMESTAMP*]