Jasamu Akan Sentiasa Dikenang, Ts. Mohd. Faizal Daud | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) tidec
» BERITA » Jasamu akan sentiasa dikenang, Ts. Mohd. Faizal Daud

Jasamu akan sentiasa dikenang, Ts. Mohd. Faizal Daud

28 Februari 2025, SERDANG – Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBrs. Ts. Mohd. Faizal Daud yang menamatkan perkhidmatan dan bersara secara rasmi mulai 28 Februari 2025.

Persaraan beliau merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh warga iDEC, khususnya setelah sekian lama beliau menabur bakti, mencurahkan kepakaran serta menyumbang idea dan tenaga dalam memperkukuh pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di universiti. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif digital yang memberi nilai tambah kepada operasi dan penyampaian perkhidmatan ICT UPM.

Sumbangan dan komitmen beliau bukan sahaja dapat dilihat melalui tugasan dan tanggungjawab rasmi yang dilaksanakan, malah turut terserlah menerusi idea, pandangan serta pendekatan inovatif yang diketengahkan dalam memperkasakan pendigitalan. Pemikiran yang progresif dan kesediaan untuk meneroka pendekatan baharu dalam bidang teknologi digital telah menjadi antara nilai yang memberi inspirasi kepada warga iDEC.

Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau turut menjadi sumber rujukan serta perkongsian ilmu kepada rakan-rakan sekerja. Sikap profesional, komitmen terhadap tugas dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah menjadi contoh yang wajar dihargai dan dikenang oleh warga iDEC. Sumbangan tersebut telah membantu membentuk budaya kerja yang menekankan inovasi, kerjasama dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan.

Semoga beliau diberikan rezeki kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa berada di bawah limpah berkat dan rahmat Allah. Selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini dan kami amat-amat menghargai segala jasa dan bakti Tuan selamanya.

Montaj Persaraan Ts. Mohd Faizal Daud

 
     

 

Tarikh Input: 28/02/2025 | Kemaskini: 21/08/2026 | nazlina

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
T, ~noCache [*LIVETIMESTAMP*]