Demonstrasi Dron | PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC) tidec
» BERITA » Demonstrasi Dron

Demonstrasi Dron

 

SERDANG, 12 Februari 2026 – Bahagian Inovasi Digital dan Kebijakan, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM), bersama wakil syarikat luar telah menganjurkan Sesi Demonstrasi Teknologi Dron DJI bagi memperkenalkan keupayaan, fungsi dan aplikasi terkini teknologi dron yang berpotensi dimanfaatkan dalam menyokong operasi, pemantauan serta pelaksanaan inovasi digital di universiti.

Program ini melibatkan seramai 25 orang staf iDEC dan dilaksanakan dalam dua sesi utama, iaitu sesi taklimat yang bertempat di Bilik Mesyuarat Media, iDEC Gamma, diikuti sesi demonstrasi penerbangan dron di perkarangan Bangunan iDEC Gamma.

Menerusi sesi taklimat, peserta diperkenalkan kepada ciri-ciri teknologi dron, keupayaan pengimejan serta potensi penggunaannya dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan pengurusan dan operasi universiti. Penerangan turut memberikan gambaran mengenai perkembangan teknologi dron yang semakin berkembang sebagai salah satu teknologi sokongan dalam pengumpulan maklumat dan data secara lebih pantas serta berkesan.

Sesi demonstrasi penerbangan pula memberikan peluang kepada peserta menyaksikan secara langsung pengendalian dron, kaedah penerbangan serta keupayaan peranti dalam merakam visual dari udara. Peserta turut didedahkan kepada hasil visual dan data yang diperoleh melalui aktiviti penerbangan dron tersebut, sekali gus memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai potensi teknologi berkenaan.

Pendedahan secara praktikal ini membolehkan warga iDEC meneroka kemungkinan penggunaan teknologi dron dalam menyokong pemantauan fasiliti, dokumentasi, pemerhatian kawasan, pengumpulan data serta pelbagai keperluan operasi yang bersesuaian.

Penganjuran sesi demonstrasi ini turut membuka ruang kepada warga iDEC untuk mendapatkan pengetahuan baharu mengenai teknologi terkini dan menilai potensi penerapannya dalam ekosistem digital UPM. Perkongsian bersama pihak industri juga dapat menggalakkan pertukaran pengetahuan serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi.

Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga iDEC terhadap perkembangan teknologi dron serta menggalakkan penerokaan teknologi baharu yang berpotensi memberikan nilai tambah kepada operasi dan perkhidmatan universiti. Inisiatif ini selaras dengan usaha iDEC untuk terus memperkukuh budaya inovasi dan menyokong agenda transformasi digital UPM.

Tarikh Input: 26/02/2026 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (iDEC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 97691990
03 97693003
T, ~noCache [*LIVETIMESTAMP*]