


Serdang, 13 Mei 2026 - Pelaksanaan Audit Dalaman Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 telah dilaksanakan pada 12 sehingga 13 Mei 2026 (Selasa dan Rabu). Audit dalaman dibuat untuk menyemak dan menilai pematuhan serta prestasi pengurusan kualiti di Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC). Audit dalam ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UPM untuk mengekalkan kecekapan tadbir urus, standard operasi, dan pematuhan klausa kualiti yang ditetapkan.
En. Mohd Idham Abdul Rashid merupakan ketua Juruaudit Dalaman (KJAD) yang mengetuai pasukan audit. Pelaksanaan audit ini melibatkan penyertaan seramai dua belas (12) orang juruaudit dan empat (4) orang juruaudit pelatih, dengan skop audit meliputi semua bahagian di iDEC secara menyeluruh.
Pelaksanaan audit telah dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit yang diadakan pada 12 Mei 2026 di Bilik Mesyuarat iDEC Alpha secara dalam talian. Audit kemudiannya ditutup melalui Mesyuarat Penutupan Audit pada 13 Mei 2026.
Audit Dalaman Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) iDEC 2026 mendapati bahawa pelaksanaan proses kerja di iDEC secara keseluruhannya mematuhi keperluan dan prosedur yang telah ditetapkan, di samping menunjukkan tahap keberkesanan yang baik dalam penyampaian perkhidmatan. Pelaksanaan audit ini turut memberikan gambaran terhadap tahap pematuhan, keberkesanan proses serta ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara berterusan. Beberapa peluang penambahbaikan telah dikenal pasti bagi memperkukuh pengurusan proses kerja, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan ICT iDEC sentiasa memenuhi keperluan dan jangkaan warga universiti.
Tarikh Input: 19/05/2026 | Kemaskini: 20/08/2026 | zuraya

Universiti Putra Malaysia
UPM Putra InfoPort - IOI Resort
Jalan Kajang - Puchong
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan